Hidawati bersama anaknya, (dari kiri) Syawal, Salma dan Syahmi. Ihsan Noor Hidawati
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


 

BIARPUN pernah bekerja sebagai pembantu peribadi, setiausaha, pengurus restoran dan jurulatih kecergasan, wanita bergelar ibu ini memilih untuk menjadi badut sebagai kerjayanya.

Noor Hidawati Mohd Juki, 41, mengakui tidak berasa puas dengan pekerjaan lain termasuk menjalankan pelbagai perniagaan kira-kira tujuh tahun lalu sehinggalah dia mencuba untuk menjadi badut pada Februari tahun lalu.

Katanya, pekerjaan badut ternyata menepati jiwa dan nalurinya yang sukakan hiburan serta kanak-kanak digabung pula tarian, nyanyian serta lakonan dengan caranya yang tersendiri.

"Memang tak pernah terlintas dalam fikiran nak jatuh cinta dan bekerja sebagai badut apatah lagi kerjaya ini mendorong tiga anak yang turut berminat untuk menceburi aktiviti ini walaupun saya tidak pernah memaksa mereka.

"Kami anak-beranak selalu terima undangan untuk memeriahkan pelbagai majlis dan sudah biasa orang ramai menggelar kami sebagai keluarga badut," katanya yang turut menganjurkan kelas teater dan seni kraftangan bagi remaja dan kanak-kanak.

Menurutnya yang dipanggil Watt De Clown, dia yang memiliki diploma dalam jurusan pengurusan hotel, sebelum ini mempunyai impian yang besar dalam hidup untuk menjadi usahawan perniagaan makanan yang berjaya.

Namun, selepas bertemu dengan dua badut yang dikenali sebagai Labu dan Banana mengubah segala-galanya apabila mencetuskan minat Hidawati terhadap kerjaya badut.

"Saya dan suami aktif sebagai pemuzik jalanan di sekitar Kuala Lumpur untuk mencari pendapatan sampingan dan ketika memohon permit di DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) kami bertemu dengan Labu dan Banan.

"Pada mulanya, saya tak yakin dengan kerjaya ini apatah lagi memikirkan tanggapan masyarakat yang pasti memandang rendah terhadap badut kerana watak itu dilihat seperti seorang yang dungu," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia mengakui kerjaya sebagai badut yang dipandang sebelah mata itu sebenarnya memberi keselesaan hidup jika dilakukan secara serius dan ikhlas.

"Sebenarnya ramai juga rakan terkejut apabila saya memilih badut sebagai kerjaya. Ada yang mempertikaikannya kerana menganggap saya mensia-siakan kelayakan akademik yang dimiliki.

“Tambahan pula, bilangan badut wanita dan bertudung di negara ini adalah sangat sedikit.

"Tapi mereka tidak tahu badut mampu menyara kehidupan selesa dan membesarkan anak dengan kerjaya itu. Malah kerjaya ini mampu membeli harta seperti rumah dan kereta seperti orang lain," katanya.

Hidawati berkata, dia bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Ilahi menyebabkan dia terdetik mahu melatih ‘protege’bagi orang dewasa secara percuma untuk berkongsi ilmu yang ada dalam dirinya.

"Terdapat dua syarat untuk mendapatkan perkongsian ilmu dari saya. Pertama, pastikan ada membuat persembahan secara kerja amal seperti meraikan anak yatim atau kanak-kanak tidak berkemampuan.

"Kedua, kongsikan ilmu yang ada kepada mereka yang berminat dengan bidang badut ini. Itu sahaja 'yuran' untuk menjadi protege saya," katanya yang tidak menang tangan menerima undangan majlis.

Menurutnya, dia bangga apabila ada dalam kalangan protegenya terdiri daripada bekas peserta Da'i, penceramah, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ditanya mengenai filem seram yang membawa watak badut yang menakutkan yang ditayangkan di pawagam negara baru-baru ini, Hidawati menjawab perkara itu tidak memberi kesan kepada kariernya.

Katanya, sebelum ini juga banyak filem dan kartun yang memaparkan badut sebagai watak jahat atau pembunuh namun ia bergantung kepada bagaimana individu menjadi badut membawa watak yang baik.

"Sebagai seorang ibu, saya ada naluri bagaimana untuk mendekati kanak-kanak. Persembahan kita yang menentukan keselesaan orang ramai untuk mendekati kita," katanya yang menetap di Kepong, Kuala Lumpur. 

Meskipun tiga anaknya, Amirul Syahmi Muhammad Fairus, 12, Amirul Syawal, 9, dan Noor Laila Salma, 7, mengikut jejaknya untuk meminati persembahan badut, namun anak-anaknya tetap mengutamakan pelajaran.

Orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan Watt De Clown boleh menghubungi Hidawati ditalian 019-6430260.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 10:30 PM