Ismail menanti kepulangan Zuzana (gambar kecil).
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


BIARPUN sudah 17 tahun berlalu, kerinduan terhadap anak perempuan kesayangannya yang hilang tanpa khabar berita tidak pernah surut.

Penantian Ismail Mat Dahan, 71, belum berkesudahan walaupun sudah pelbagai cara dilakukannya termasuk mencari anaknya, Zuzana, 38, di sekitar Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Namun , kini kudratnya tidak lagi sekuat dahulu untuk mencari anaknya kerana terlantar sakit selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak hampir dua bulan lalu.

Hasrat untuk bertemu Zuzana, anak keempat daripada lapan beradik itu terus disuarakan kepada anak-anaknya yang lain, termasuk anak ketujuh, Siti Noor Ezilla, 31.

"Semalam ayah ada kata, kalau umurnya panjang, dia nak jumpa semua anaknya terutamanya Zuzana. Dia berharap ada orang tolong dia.

"Kami adik beradik dah buntu nak cari macam mana sebab macam-macam yang kami sudah usahakan termasuk mencari di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen mahupun secara tradisional," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengimbas kembali peristiwa yang berlaku pada 2000, Siti Noor Ezilla berkata, kakaknya itu (Zuzana) lari dari rumah sewa keluarga mereka di Kampung Usaha Jaya, Johor Bahru sehelai sepinggang.

"Kakak tidak membawa pakaian mahupun kad pengenalan dan terus hilang sampai ke hari ini termasuk meninggalkan anak lelakinya yang kini berusia 19 tahun.

"Kami tidak tahu apa yang berlaku kepadanya kerana dia tiada masalah dengan keluarga. Tak tahu pula kalau dia ada masalah dengan bekas suaminya apabila bercerai kira-kira dua tahun sebelum dia hilang," katanya.

Siti Nor Ezilla berkata, kakak sulungnya, Zaleha, 46, adalah paling rapat dengan Zuzana dan meminta kepada sesiapa untuk menghubungi Zaleha, yang kini menjaga bapa mereka di No 136, Hulu Masjid Kampung Kelaboran, 16200, Tumpat, Kelantan

"Baliklah. Emak dan dua abang sudah meninggal (2006, 2004, 2010) pun kakak tak sempat jumpa. Kami tidak akan marah atau salahkan kakak kerana perkara ini sudah lama.

"Kami tidak ambil hati. Mungkin masa itu dia muda lagi (21 tahun), buat sesuatu tidak fikir panjang. Kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Kami rindu dengan dia sangat. Harap dia terbuka hati nak balik jumpa ayah," katanya.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat atau tahu mengenai Zuzana, boleh hubungi Zaleha (0197261830) atau Siti Noor Ezilla (0122729063).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 10:00 PM