MESEJ yang tular di media sosial.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


IBU Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menafikan dakwaan wujudnya makhluk aneh iaitu haiwan menyerupai manusia kononnya ditemui di hutan di negeri ini seperti yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, berdasarkan gambar dan keterangan yang ditularkan itu pihaknya sudah menjalankan siasatan dan mendapati ia bukan berlaku atau ditemui di Pahang.

“Hingga kini tiada apa-apa maklumat dan laporan polis diterima. Kami (polis) menafikan berita yang ditularkan itu.

“Kemungkinan besar gambar itu dimuat turun daripada Internet dan sengaja ditularkan kononnya berlaku di Pahang,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Catatan yang ditularkan di media sosial itu mendakawa mahkluk aneh berkenaan ditemui di sempadan hutan dekat Pahang dan ketika ditemui mahkluk itu masih bernyawa serta ditempatkan di makmal rahsia.

Rosli meminta orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan cerita yang disebarkan tanpa asas yang kukuh itu.

Difahamkan gambar dan video itu dimuat naik dari laman sesawang yang menjual barangan permainan kanak-kanak di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:32 PM