PELARIAN Rohingya di Cox’s Bazar. FOTO Abir Abdullah
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan ke Cox's Bazar, Bangladesh yang menempatkan kem pelarian Rohingya ketika lawatan kerja di negara berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan kerja pada 15 dan 16 Oktober ini adalah yang pertama beliau sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2015.

"Justeru, lawatan ini memperlihatkan keprihatinan dan ketegasan Malaysia dalam isu pelarian Rohingya secara amnya.

"Malaysia yakin lawatan Timbalan Perdana Menteri ini akan mengeratkan hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Bangladesh serta isu serantau serta antarabangsa," katanya, hari ini.

Dalam siri lawatan kerja ke Bangladesh, Ahmad Zahid akan diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem serta pegawai kanan kerajaan Malaysia.

"Pada masa sama, beliau dijangka akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Bangladesh dan menteri berkaitan bagi membincangkan kerjasama dua hala dan peluang kerjasama dua hala baharu untuk kepentingan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:11 PM