Amrullah Abdul Karim
am@hmetro.com.my


TIGA lelaki berusia 15 hingga 25 tahun ditahan bersama beberapa peralatan seperti pisau, spanar dan pemutar skru dipercayai digunakan untuk tujuan samun di Kampung Tradisi, Sungai Choh, Serendah, 1.40 pagi hari ini.

Tangkapan itu dilakukan susulan maklumat daripada penduduk yang melihat tiga lelaki itu meronda dengan dua motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, maklumat itu diperoleh ketika sepasukan anggota polis sedang menjalankan tugas cegah jenayah di kampung berkenaan.

"Polis dengan bantuan orang kampung membuat pemeriksaan terhadap tiga lelaki itu yang menunggang dua motosikal.

"Pemeriksaan menemui peralatan pecah rumah iaitu tiga pemutar skru, dua spanar, dua playar dan masing-masing sebilah pisau serta alat pemotong," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah.

Katanya, semua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut kes pecah rumah dan curi komponen motosikal.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) ABKLSB 1958 dan Seksyen 28(i) Akta Kesalahan Kecil 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 8:04 PM