Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


SERAMAI 9,534 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 23 Oktober ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, peperiksaan bertulis STAM akan diadakan pada 23, 25, 30, 31 Oktober dan 1 November.

Menurutnya, jumlah calon mengikut pecahan adalah sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan seramai 2,365 (24.8 peratus), sekolah menengah agama negeri, 4,951 (51 peratus), sekolah menengah agama rakyat, 704 (7.4 peratus), sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM, 52 (0.5 peratus), calon persendirian, 1,370 (14.4 peratus) dan calon luar negara (Kemboja) seramai 92 orang atau satu peratus.

"Sebanyak 240 pusat peperiksaan yang dibuka di Malaysia dan Kemboja dengan 1,071 petugas peperiksaan sudah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

"Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon supaya merujuk jadual waktu peperiksaan STAM 2017 untuk maklumat mengenai masa, arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan itu berlangsung," katanya.

Katanya, jadual peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

"Calon juga dinasihatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:58 PM