TIMBALAN pengerusi PERDA, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin (dua dari kanan) melihat pelajar kejuruteraan elektrik membuat pendawaian baru di reban ayam dalam program bakti siswa PERDA-TECH 2017 di Pertubuhan Permata Al Mahabbah, Kampung Bagan Buaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Muhammad Shalaby Shahbuddin
am@hmetro.com.my


SEBANYAK RM16,000 hingga RM20,000 diperuntukkan menerusi Program Bakti Siswa 2017 anjuran Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-Tech) bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan di Pertubuhan Permata Al-Mahabbah Pulau Pinang (PPAMPP) di Kampung Bagan Buaya, Changkat, Nibong Tebal, hari ini.

Program itu membabitkan aktiviti membaik pulih pagar utama, pendawaian elektrik reban ayam dan menaik taraf pagar besi untuk tempat wuduk selain menyumbangkan 1,000 anak ayam sebagai aktiviti kepada penuntut di samping menjana pendapatan persatuan terbabit.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PERDA-Tech Razis Shamsudin berkata, beliau memantau tugas dilakukan 20 penuntut Kejuruteraan Elektrik untuk membaik pulih pendawaian elektrik reban ayam bermula Rabu lalu.

"Sebelum ini, sistem pendawaian elektrik di reban ayam itu kurang memuaskan apabila ada kabel rosak dan sudah putus menyebabkan ia perlu diperbaharui bagi menjamin keselamatan.

"Kerja baik pulih sudah dijalankan sejak Rabu lalu dan jika tiada halangan berkemungkinan akan dapat diselesaikan penuntut terbabit esok," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin melakukan simbolik melepaskan 10 anak ayam ke dalam reban, sekali gus merasmikan Program Bakti Siswa 2017 di Dewan PPAMPP, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 10 orang golongan kurang berkemampuan sekitar kawasan itu turut diberikan sumbangan barangan hamper makanan keperluan harian.

Sementara itu, Dr Shaik berkata, program berkenaan adalah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan kesinambungan program mempromosikan PERDA-Tech kepada masyarakat khususnya sekitar kawasan terbabit.

"Ia memberi kefahaman dan kesedaran kepada penuntut terhadap peranan dan tanggungjawab dalam mencapai pembangunan insan.

"Program ini bukan saja mempromosikan PERDA-Tech sebagai pusat pembelajaran kemahiran unggul di negeri ini, malah dapat mengeratkan hubungan dan memberi kefahaman fungsi PERDA kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 7:56 PM