MUHAMMAD Amirul Iman Abdur Rashid kini di bawah jagaan JKM selepas diselamatkan polis. FOTO Ihsan JKM
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang diselamatkan polis selepas dipercayai menjadi mangsa dera abang ipar.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seremban Bahiyah Muhammad berkata, Muhammad Amirul Iman Abdur Rashid dijaga kakak dan abang iparnya selepas kematian ibu akibat kanser usus, pada 24 Julai lalu.

"Kanak-kanak terbabit diletakkan di bawah jagaan pasangan itu kerana bapa kandung yang bercerai dengan ibunya tidak dapat dikesan.

"Sepanjang dua bulan itu, mangsa dipercayai didera beberapa kali sebelum diselamatkan polis pada 25 September lalu. Ketika ditemui, mangsa ada kesan lebam pada mata dan luka pada badan, kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk pemeriksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, JKM dimaklumkan mengenai kes itu dan pihaknya mendapatkan perintah jagaan daripada mahkamah mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan) 2016.

Bahiyah berkata, JKM sedang mengesan waris kanak-kanak itu dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pejabat JKM Daerah Seremban atau Pegawai Pelindung Norsahrisalina Nordin di talian 06-6015819.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:28 PM