Shabudin (tengah) melihat keadaan Mahmud yang terlantar. FOTO Zulfa Mohamad
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


TIGA beradik di Jarak Atas, Tasek Gelugor menderita kemurungan sehingga terpaksa bergantung pada adik-beradik lain bagi menguruskan diri selepas kematian ibu lebih 15 tahun lalu.

Mahmud Saad, 48, bukan saja terlantar tetapi turut menderita penyakit tibi dan kencing manis, adiknya, Mohd Syafiq, 31, turut terlantar dan kemurungan manakala seorang lagi, Mohd Samsuri, 47, baru menjalani pembedahan tonsil selain perlu bergantung pada orang lain bagi menguruskan diri.

Mereka semua lapan beradik dengan tiga beradik perempuan sudah berkahwin.

Bagi menguruskan diri, mereka dibantu dua saudara, Mohd Ashraf, 20, dan Samsudin, 39, serta ibu saudara Rokiah Ahmad, 59.

Menurut Rokiah, tiga beradik berkenaan asalnya normal, tetapi berubah menjadi murung selepas kematian ibu, Mariam Che Embi.

"Mereka sangat rapat dengan ibu mereka, tetapi berubah menjadi murung selepas kehilangan kasih ibu manakala bapa mereka, Saad Ahmad meninggal dunia 30 tahun lalu," katanya selepas dikunjungi Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, hari ini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan Datuk Omar Abdul Hamid, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Jarak Atas dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rokiah berkata, Mohd Syafiq mengalami kemurungan hingga hilang selera makan selain enggan bercakap.

"Saya sedih lihat keadaan mereka. Oleh kerana tiada ibu, mereka hanya bergantung pada adik-beradik lain bagi menguruskan diri," katanya.

Sementara itu, Shabudin berkata, selain sumbangan dua katil, JKM bersetuju untuk meluluskan bantuan pesakit terlantar dan Orang Kurang Upaya (OKU) kepada tiga beradik berkenaan.

"Saya berharap masyarakat setempat dan jawatankuasa masjid turut tampil membantu tiga beradik berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:10 PM