Mariam bergambar kenangan bersama Mohd Rizwan. FOTO ihsan Tolihah Ismail
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


“KALAU boleh saya mahu hajat emak untuk bertemu kembali anak angkatnya tertunai kerana tidak sampai hati melihat dia bersedih,” kata Tolihah Ismail, 31, yang sedang mencari abang angkatnya, Mohd Rizwan Moktar, 40-an yang terpisah sejak 14 tahun lalu.

Menurutnya, kehadiran abang angkatnya dalam keluarga mereka suatu masa dulu memberi makna kepada ibunya, Mariam Mohd Nor, 70, kerana dia mahukan anak lelaki tetapi tiada rezeki kerana semua lima anak adalah perempuan.

Katanya, dia difahamkan abang angkatnya anak yatim dan berkenalan dengan keluarga semasa bekerja di tempat yang sama dengan kakaknya sebagai polis bantuan.

"Ketika itu kami sekeluarga menetap di Pelabuhan Klang, bagaimanapun pada 2003 dia ditukarkan ke sini (Melaka).

“Beberapa hari selepas berpindah dia ada menelefon emak memaklumkan khabar berita sebelum terputus hubungan.

"Emak amat terkesan apabila dia tidak dapat menghubungi dan bertanya khabar kerana dia amat sayang kepada anak angkatnya yang sudah dianggap seperti anak kandung sendiri," katanya.

Menurutnya, setiap kali dia dan adik-beradik yang lain memegang telefon, ibu mereka pasti bersuara sama ada dapat mencari abang angkat di Facebook (FB) atau tidak.

"Sampai suatu masa dia akan merungut, adakah abang merajuk dengannya sehinggakan tidak mahu lagi berjumpa sambil bergenang air mata," katanya.

Dia berkata, kalau boleh dia berharap dapat berjumpa abangnya itu kerana ibunya tidak berapa sihat akibat kencing manis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 6:05 PM