Zainudin (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas pada sidang media di IPD Port Dickson petang tadi. (Gambar 2) Antara motosikal dan aksesori motosikal yang dirampas selepas menahan 29 lelaki berusia 20 hingga 40 tahun. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


POLIS menumpaskan sindiket penyeludupan pelbagai jenis rokok dan minuman keras bernilai hampir RM100,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Ladang Sendayan, Siliau, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, serbuan dilakukan pada jam 11 malam hasil maklumat orang awam serta risikan dijalankan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga India berusia antara 42 hingga 61 tahun.

"Turut dirampas 140,000 kartun rokok serta minuman keras pelbagai jenama dipercayai diseludup dari negara jiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.

Katanya, kedua-dua warga asing direman 14 hari bermula semalam manakala tiga hari untuk warga tempatan.

"Lelaki warga tempatan itu berusia 61 tahun dan dua lelaki warga asing itu berusia 43 dan 42 tahun. Ini adalah tangkapan terbesar IPD Port Dickson bagi tahun ini," katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Zainudin berkata, polis menahan 29 lelaki berusia 20 hingga 40 tahun bersabit kes curi motosikal dalam Op Lejang di seluruh daerah ini sejak awal bulan.

"Sepanjang tahun ini, polis menerima sebanyak 64 laporan kes kehilangan motosikal dilaporkan di Port Dickson.

"Bertindak atas laporan, polis menubuhkan pasukan khas dan yakin dapat menyelesaikan 50 peratus kes kehilangan motosikal yang kebanyakannya dijual kepada warga asing yang bekerja di ladang.

"Antara barangan dirampas ialah 15 buah motosikal, empat enjin dan pelbagai eksesori serta 1.4 gram heroin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 5:38 PM