12 warga asing dikategorikan sebagai FTF disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Daish dan Fetullah Turki dan diusir ke negara asal. FOTO ihsan Polis
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


EMPAT PULUH LIMA warga asing yang dikategorikan Pejuang Pengganas Asing atau ‘Foreign Terrorist Fighter’ (FTF) ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Januari hingga 6 Oktober tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan proaktif itu diambil berdasarkan hasil risikan mengenai anasir Daish daripada pelbagai negara yang sebelum ini beroperasi di Iraq dan Syria mula menyusup keluar dari negara berkenaan.

Katanya, tindakan itu dilakukan ahli kumpulan pengganas selepas kehilangan sebahagian besar kawasan yang dikuasai Daish di dua negara itu.

“Mereka diarahkan untuk menyusup masuk ke negara lain di seluruh dunia untuk melancarkan serangan bagi pihak Daish dan mereka juga didapati bergabung dengan kumpulan Daish di rantau Asia Tenggara atau Abu Sayyaf (ASG) dan Jamaatul Mujahideen dalam usaha melancarkan serangan di Malaysia.

“Hasilnya, 45 FTF termasuk sembilan yang terbabit dalam ASG, tiga ahli Fetullah Turki (kumpulan yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)), seorang ahli pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan Daish dan 31 lain-lain kewarganegaraan yang terbabit dalam Daish berjaya ditahan.

“Daripada 31 lain-lain kewarganegaraan itu, tiga daripadanya adalah rakyat Iraq yang memainkan peranan sebagai Komander Daish di Selatan Iraq” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, 13 orang sudah dituduh di mahkamah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah - Langkah Khas ) 2012 dan 12 diusir balik ke negara asal manakala seorang ditahan mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), tujuh dibebaskan dan 12 lagi masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 5:26 PM