Keadaan Proton Persona dinaiki dua sahabat yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258, LPT2. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


DUA pemuda maut selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 258 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Jabur, Chukai, 2.50 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, pemandu Proton Persona, Mohamad Zaiful Azlan Embong, 33, dan penumpang, Mohamad Nazrul Afda Mat Amin, 21, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua sahabat itu yang berasal dari Marang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.

Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, hentaman yang kuat menyebabkan pemandu tercampak keluar dari kereta manakala rakannya tersepit di tempat duduk.

"Enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Cheneh yang dipanggil ke tempat kejadian berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan. Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 5:25 PM