Isteri mangsa, Winney bersama anaknya menunjukkan gambar suaminya Koperal L Suresh, 36, yang maut selepas motosikal trafik ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Jalan Kuala Trengganu-Kuantan dekat Teluk Kalung, Chukai semasa ditemui di Wat Cheng Buddhavas, Kampung Terbak, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


“SEMALAM, suami beritahu dia letih, tapi saya tidak sangka dia kini 'berehat' untuk selama-lamanya,” kata Winney Suley Buan, 33, isteri kepada mendiang Koperal I Suresh, 36, yang maut dirempuh sebuah lori di Kilometer 139 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Teluk Kalong, Chukai, 2.55 petang, semalam.

Dalam kejadian itu, mendiang yang juga anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, maut bersama rakan setugas, Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh lori ketika mengikuti konvoi latihan menunggang jarak jauh motosikal berkuasa tinggi.

Winney berkata, sebelum kejadian, suaminya ada menghantar mesej menerusi aplikasi Whatsapp yang memberitahu merinduinya selain mahu dia mengambilnya di IPD (IPD) Dungun untuk pulang ke rumah mereka di Tumpat.

"Dia minta ambil di tempat kerja kerana beritahu letih (berkursus), namun saya tidak dapat berbuat demikian. Dia juga beritahu rindu saya dan tiga anak kami berusia tiga hingga tujuh tahun.

"Walaupun saya pelik dengan mesej begitu, saya tetap melayani suami. Saya tidak sangka dia akhirnya berehat (meninggal dunia) untuk selama-lamanya," katanya ketika ditemui di Wat Cheng Buddhavas, Kampung Terbak, Tumpat.

Menurutnya, dia terkilan apabila rancangannya bersama mendiang untuk pulang ke kampung halamannya di Sarawak, tidak menjadi kenyataan susulan tragedi itu.

Katanya, mereka sudah lama merancang untuk pulang ke negeri kelahirannya dan kini terpaksa pulang ditemani anak-anaknya.

"Dia seorang suami yang penyayang, malah rapat dengan anak-anak. Kami akan merinduinya sentiasa," katanya.

Sementara itu, abang mendiang, I Anand, 37, berkata, kehilangan adik ketiga daripada empat beradik itu cukup dirasai keluarga.

"Antara kami, dia paling nakal kerana suka menyakat dan jika berkumpul, Suresh yang selalu merancang untuk mengadakan BBQ.

"Dia sukakan paprik belut dan setiap kali pulang ke kampung di Gelam Kechik, Tumpat, menu itu akan dicarinya. Kami sedih dia hilang tiba-tiba," katanya.

Terdahulu, suasana sedih menyelubungi kuil itu apabila ahli keluarga dan kenalan mendiang hadir memberikan penghormatan terakhir. Upacara membakar mayat akan dilakukan di Wat Phikulthong, Kampung Terbak, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 4:56 PM