Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pekeliling berkaitan isu beg berat yang dibawa murid ke sekolah dikeluarkan sejak Januari 2001.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon berkata, pekeliling itu sudah lama dan ia perlu diikuti oleh pihak sekolah dan guru supaya tidak membebankan murid tahap satu.

Katanya, isu beg berat sudah lama dan kementerian berharap ia selesai serta dapat dilaksanakan secara serius mulai 2018.

"Pelaksanaannya bukan tergesa-gesa atau tiba-tiba kerana ia sudah lebih 16 tahun.

"Murid tahun satu, dua dan tiga perlu belajar secara seronok iaitu tidak dibebani dengan banyak buku hingga beg mereka mencecah 10 kilogram (kg) dan boleh menjejaskan kesihatan terutama tulang belakang.

"Mereka (murid) tidak dibenarkan membawa beban buku kerja yang banyak kerana buku teks dan latihan yang disediakan kementerian sudah mencukupi," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Goldhill Curtain Sdn Bhd dengan MK Curtain Berhad di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, hari ini.

Goldhill Curtain Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Tiew Eng Shiang dan MK Curtain Berhad diwakili Pengerusinya, Datuk Calvin Khiu Fu Siang.

Beliau berkata, buku latihan yang banyak juga memberi bebanan kewangan kepada ibu bapa kerana perlu membeli pelbagai jenis buku.

Katanya, buku latihan hanya dibenarkan kepada murid tahap dua yang mahu menghadapi peperiksaan iaitu tahun empat, lima dan enam.

"Pekeliling ini tidak akan menghentikan ibu bapa untuk membeli buku latihan kepada anak-anak mereka sebaliknya pihak sekolah perlu mematuhi peraturan ini.

"Semua penjawat awam (guru dan pihak sekolah) perlu mengikuti arahan kerajaan bagi mengelakkan tindakan tata tertib," katanya.

Chong menyeru semua rakyat Malaysia memberi sokongan kepada kementerian untuk memartabat dan mengubah bidang pendidikan negara ini setanding dengan negara maju.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 4:07 PM