Mohamad Fuzi (tengah) menyaksikan penyerahan Tongkat Kuasa jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial daripada Datuk Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) kepada Datuk Amar Singh Ishar Singh sempena Majlis Serah Terima Tugas Pengarah dan Pengerusi PERKEP di PULAPOL hari ini. FOTO Yazit Razali
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


POLIS mengesahkan penahanan beberapa individu termasuk pelajar sekolah di beberapa lokasi di Kelantan, sejak Selasa lalu berikutan memiliki dan mempunyai kepakaran mencipta bahan letupan.

Beberapa individu yang ditahan itu dipercayai merancang untuk membuat serangan di lokasi tertentu di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tangkapan itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Memang ada tangkapan dibuat namun ianya masih dalam siasatan. Terlalu awal untuk saya memberi kenyataan penuh mengenai tangkapan itu. Jadi, beri kami masa beberapa hari lagi untuk melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media ketika Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), pagi tadi.

Sementara itu, Mohamad Fuzi menjelaskan bahawa PDRM menerima sebanyak 27 laporan polis membantah 'Perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' yang akan diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya esok.

Katanya, biarpun pihaknya dimaklumkan bahawa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah memberi kebenaran kepada penganjur, namun pihaknya tetap tidak bersetuju ia dibuat di situ.

"Kita tegas dengan keputusan kita kerana perhimpunan itu pasti akan mengganggu aliran trafik sekali gus menyusahkan orang ramai.

"Sebaliknya sebelum ini kita sudah maklumkan agar perhimpunan itu diadakan di tempat lain iaitu di Stadium Kelana Jaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 3:23 PM