Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) menjalankan siasatan terperinci mengenai tindakan Presiden Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zain, yang didakwa mengkritik institusi diraja dalam satu ceramah agama di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, minggu lalu.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, ceramah pada 7 Oktober itu tidak menggambarkan pendirian MAIS atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai perkara berkenaan.

"Susulan itu, MAIS mengarahkan supaya satu siasatan terhadap dakwaan itu dijalankan oleh JAIS mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

"Selain itu, kita menegaskan bahawa semua penceramah agama di dalam Selangor perlu mematuhi segala peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

"Ini termasuk tidak menyampaikan ceramah agama yang boleh mendatangkan kebencian atau penghinaan atau boleh menunjukkan kebiadaban terhadap Sultan, kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa agama Islam Negeri, atau yang boleh mewujudkan perasaan buruk sangka serta permusuhan antara kaum," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Harian Metro melaporkan Dr Zamihan ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada 3.50 petang kelmarin, kerana disyaki mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam kuliah agama itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Dr Zamihan didakwa mengkritik Sultan Ibrahim yang membidas tindakan kedai dobi di Muar yang tidak menerima pelanggan bukan Islam.

Dia dipercayai turut menyentuh isu berbaur perkauman yang dikaitkan dengan kedai dobi itu.

Sultan Ibrahim pada 27 September lalu mengarahkan kedai dobi itu menghentikan dasar kontroversi itu atau berdepan risiko ditutup.

Dalam pada itu, kata Mohamad Adzib, MAIS turut mengarahkan pihak pengurusan masjid dan surau dalam negeri ini untuk memantau setiap aktiviti pengajaran Islam supaya ia selaras dengan Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

"Kita juga mengingatkan bahawa semua pihak pengurusan itu bertanggungjawab memastikan setiap penceramah yang dijemput mempunyai tauliah mengajar dan mematuhi Peraturan-peraturan Tauliah (Negeri Selangor)," katanya.

Berita berkaitan:

Zamihan ditahan

Zamihan disiasat

'Saya akur titah tuanku'

Biar suci, bersih

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 3:21 PM