Norazman menunjukkan gambar barang kes yang dirampas daripada Geng Topoi Hilux. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


GENG Topoi Hilux yang aktif mencuri kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Negeri Sembilan, berjaya ditumpaskan susulan penahanan tiga ahli kumpulan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Norazman Mohamad Yusof berkata, sebelum itu, polis menerima banyak laporan mengenai kecurian Toyota Hilux dan menubuhkan pasukan khas menjalankan siasatan.

Menurutnya, hasil siasatan dan risikan, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki yang juga ahli Geng Topoi Hilux berusia antara 21 hingga 31 tahun di Genting Highlands, pada 7 September lalu.

"Polis turut merampas sebuah Perodua Myvi dan pelbagai peralatan pecah kereta serta telefon bimbit milik suspek.

"Mereka mengaku aktif melakukan kegiatan itu sejak awal tahun ini. Penahanan mereka dapat menyelesaikan lebih 10 kes curi kenderaan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.

Norazman berkata, pihaknya masih mengesan semua kenderaan yang dicuri itu dan individu lain yang disyaki turut terbabit dalam kegiatan jenayah mereka.

Menurutnya, suspek dipercayai melupuskan kenderaan dicuri dengan cara menjual semula kepada pembeli dari luar negeri ini, pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang berasal dari Seremban dan Nilai itu ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Untuk rekod, seramai 38 suspek berjaya ditahan mengikut POCA sejak Januari sehingga semalam, melebihi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan iaitu 37 tahanan sehingga akhir tahun.

Dalam perkembangan lain, Norazman berkata, polis giat mengesan tiga individu bagi membantu siasatan dua kes bunuh yang berlaku di Seremban dan Nilai pada 2015 dan 2016.

Menurutnya, mereka ialah Seh Woon Loong, 46, berasal dari Seremban, Wong Chun Yuen, 31, berasal dari Taman Mambau dan K Nagarajan, 30, berasal dari Desa Cempaka, Nilai.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Woon Loong dan Chun Yuen boleh menghubungi Deputi Superintendan Ahmad Jamaludin di talian 013-2935122. Bagi menyalurkan maklumat mengenai Nagarajan boleh menghubungi Asisten Superintendan Rashid Kasim di talian 012-5183594," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 3:18 PM