POLIS sedang mengesan Azrulnizam yang melarikan diri dari Lokap Balai Polis Segamat. FOTO ihsan Polis
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


POLIS Segamat melancarkan Ops Tutup dan Ops Kesan bagi menahan tahanan yang meloloskan diri dari lokap Balai Polis Segamat, 9.30 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, pihaknya menyedari suspek tiada di lokap pada 9.30 pagi tadi dan terus berusaha mengesannya di sekitar balai polis berkenaan.

Katanya, apabila tidak menemui lelaki itu, pihaknya melancarkan Ops Tutup dan Ops Kesan bagi menahan suspek yang beralamat terakhir di Taman Jemantah, Segamat.

"Suspek, Azrulnizam Ariff, 39, ditahan polis kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan.

"Suspek yang ditahan awal bulan ini berjaya meloloskan diri dengan memakai kemeja T berwarna oren dan seluar pendek unggu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan seseorang lari dari tahanan serta tentangan terhadap penangkapan yang sah di sisi undang-undang, kedua-duanya membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Huzaifah Akwa Ishak di nombor 011-27766092 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di nombor 07- 9312222 atau balai poils berhampiran bagi membantu siasatan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 11:17 PM