Muhd Hairi (tengah) menunjukkan laporan polis dibuat. FOTO Ihsan Muhd Hairi
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


PEMIMPIN Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) didakwa pecah amanah menyebabkan dua beradik rugi RM96,400 dalam perniagaan pusat snuker di Senawang Seremban, di sini.

Mangsa, Muhd Hairi Shah Ujang, 39 mendakwa, dia dan adiknya, Mohd Shafar Shah, 30 tidak menerima wang terbabit sejak premis beroperasi dua tahun lalu.

Katanya, perniagaan itu diusahakan oleh lima rakan kongsi termasuk adiknya namun keuntungan tidak pernah diterima.

"Pada September 2015, kami sepakat membuka perniagaan ini dan keuntungan dipersetujui mengikut peratus ditetapkan.

"Namun begitu, saya dan adik tidak pernah menerima wang berkenaan," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sikamat, di sini, hari ini.

Dakwanya lagi, setakat ini lima laporan polis sudah dibuat oleh keempat-empat rakan kongsi ke atas pemimpin ARMADA Negeri Sembilan berkenaan.

Katanya, mereka mengharapkan siasatan polis dibuat ke atas lelaki berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 10:31 PM