GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


PESAWAH yang membeli benih padi sah di pintu kilang pengeluar yang dilantik pada harga melebihi RM28 setiap beg boleh mendapatkan bayaran balik dengan mengemukakan resit belian.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ismail Bakar berkata, bagaimanapun tawaran di bawah program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) 2017 itu tidak termasuk untuk benih padi varieti MR220 CL2.

"Sebanyak RM75 juta diperuntukkan di bawah IBPS selepas mengambil kira keprihatinan kerajaan terhadap golongan pesawah. (Ketika ini) kos pengeluaran benih padi adalah RM2.43 sekilogram (kg).

"(Jadi) kerajaan memberikan subsidi benih padi sah dengan harga jualan RM1.40 sekilogram di pintu kilang iaitu RM28 setiap beg, manakala insentif kepada pengeluar benih padi sah adalah RM1.03 sekilogram atau RM20.60 setiap beg," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata, Program IBPS ini diwujudkan bagi membantu pesawah mengurangkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan mereka menggunakan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan padi angin.

Katanya, setiap tahun, keperluan benih padi sah adalah 80,000 metrik tan dengan mengambil kira sekiranya berlaku bencana.

Bagaimanapun, katanya keperluan sebenar benih padi adalah 72,000 metrik tan atau nilai RM75 juta.

"Bagi 2017 sehingga 2019, terdapat sembilan pengeluar benih padi sah yang dilantik secara Tender Terbuka.

"Kriteria pemilihan adalah berdasarkan kemampuan dan kapasiti loji memproses benih padi, sumber manusia syarikat untuk penyeliaan ladang dan penilaian kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 9:48 PM