Sebahagian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor dan orang ramai mengadakan demonstrasi Bantahan Pesta Arak dan Pesta Gay di Perkarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 22 September lalu. FOTO Roslin Mat Tahir
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


DUA puluh tujuh lelaki yang disyaki terbabit dengan aktiviti homoseksual direkodkan dijangkiti virus HIV di Terengganu sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, peningkatan itu sangat mengejutkan berbanding hanya satu kes dilaporkan pada 2010 dan tiga kes pada 2005.

Menurutnya, pihaknya mendapati berlakunya peningkatan jangkitan HIV daripada golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) sekali gus ia perlu ditangani secara serius oleh semua pihak.

Katanya, sejak kes pertama dikesan pada 1988 hingga Jun tahun lalu terdapat seramai 9,676 kes HIV direkodkan di negeri ini.

"Sebanyak 8,298 kes didapati berpunca daripada perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah manakala 983 kes lagi membabitkan golongan berkaitan LGBT.

"Semua mereka yang mengamalkan LGBT dan dijangkiti HIV itu sudah beberapa kali dipanggil menghadiri sesi kaunseling bagi mengelak lebih ramai lagi golongan seperti itu dijangkiti virus terbabit," katanya di majlis pelepasan Peserta Kembara Sihat Tanpa AIDS 2017 di Padang Astaka Kemaman di Chukai, hari ini.

Pelepasan peserta itu disempurnakan Pegawai Khas Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani, Datuk Rohani Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 5:47 PM