Zaid Salim
am@hmetro.com.my


SEORANG daripada tiga lanun yang lolos dalam rompakan kapal tangki di perairan Terengganu, awal bulan ini, ditahan di Kuala Nerus, 11 September lalu.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 9, Kapten Maritim Rahim Ramli, berkata lelaki berusia 46 tahun itu ditemui orang awam terdampar di Pantai Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus.

Ketika soal siasat, suspek memperkenalkan diri sebagai Sabri Adnan, diserahkan kepada polis yang kemudian menyerahkannya kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

"Mulanya suspek memperkenalkan diri sebagai Sabri Adnan dipercayai cuba mengelirukan pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut imigresen menemui data peribadi suspek.

Menurutnya, lelaki itu didapati seorang daripada tiga suspek yang lolos ketika cuba ditankap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 7 September lalu.

Katanya, suspek kemudian diserahkan kepada APMM pada 18 September lalu dan direman seminggu bermula kelmarin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata," katanya.

Pada 7 September lalu, APMM menahan 10 daripada 13 lanun warga Indonesia yang cuba merompak kapal tangki di perairan berhampiran Pulau Redang.

APMM turut menahan seorang lagi lelaki berusia 59 tahun, juga warga Indonesia yang dipercayai dalang utama jenayah itu di sebuah hotel di Johor Bahru.

Semua 11 lanun terbabit sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dan dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dengan enam daripada mereka turut dikenakan hukuman lima sebatan.

Berita berkaitan

Lanun disebat, dipenjara [METROTV]

Lanun disambung reman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 5:42 PM