PENUMPANG menaiki bas perantara berikutan KERETAPI KTMB menghentikan sementera perkhidmatan komuter laluan Kuang-Rawang. IHSAN KTMB
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghentikan sementera perkhidmatan komuter laluan Kuang-Rawang, kedua-dua hala, hari ini.

Ini berikutan talian kabel atas talian putus antara laluan Rawang-Kuang.

Jurucakapnya berkata, keadaan itu menyebabkan gangguan perjalalanan perkhidmatan tren KTM Komuter dan ETS.

"Sehingga ini, tiada perkhidmatan tren antara Kuang-Rawang dan perkhidmatan bas shuttle disediakan dari Sungai Buloh-Rawang.

“Kami sedang menguruskan pemindahan penumpang ETS yang terkandas ketika dalam perjalanan dan perkhidmatan bas untuk pengguna tren komuter antara laluan Sungai Buloh-Rawang.

"Perkhidmatan tren KTM Komuter di antara laluan Tanjung Malim-Serendah dan Pelabuhan Klang-Sungai Buloh pula tidak mengalami sebarang gangguan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan penumpang dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan perkhidmatan pengangkutan lain.

Katanya, untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan KTM Berhad di 03-2267 1200 atau layari twitter KTM Berhad di @ktm_berhad.

"Sebarang perkembangan terkini, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KTM Berhad memohon maaf di atas segala kesulitan yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 3:05 PM