MAYAT dua remaja berkenaan ditutup dengan kain oleh orang awam.
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my


PERJALANAN pulang dua rakant dari program sambutan Hari Malaysia di Kinabatangan bertukar tragedi apabila mereka meninggal dunia selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah lori 10 tan di Jalan Sandakan - Lahad Datu, berdekatan Segaliud, dekat Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia adalah penunggang motosikal jenis Modenas Kriss, Mohd Noor Yusof, 19, dari Taman Cahaya Batu 12, Sandakan.

Kejadian turut mengakibatkan pembonceng motosikal itu, Muhammad Luqman Samsul, 16, dari Kampung Kenangan Manis, Batu 12, Sandakan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, ketika kejadian, kedua-dua remaja itu dipercayai dalam perjalanan dari Kinabatangan menuju ke Sandakan, selepas menghadiri sambutan Hari Malaysia di Kinabatangan.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, motosikal dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori di laluan bertentangan.

"Akibat rempuhan itu, dua remaja itu meninggal dunia di tempat kejadian

"Bagaimanapun, pemandu lori terbabit dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian dan sehingga kini tidak dapat dikesan," katanya ketika hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.

Dalam pada itu, Mohd Azhar berkata, pemilik syarikat sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 7:49 PM