Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my

 

PIHAK kerajaan mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini terhadap permohonan saman oleh Hindu Rights Action Force (Hindraf) bersama 18 individu lain terhadap pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 September ini untuk mendengar permohonan kerajaan bagi mengetepikan saman berkenaan.

Hakim Datin Azizah Nawawi menetapkan tarikh terbabit selepas bertemu peguam bagi semua pihak di kamarnya di mahkamah, hari ini.

Peguam S Karthigesan yang mewakili Hindraf ketika ditemui berkata, pihak kerajaan memfailkan untuk membatalkan permohonan Hindraf.

Katanya, mahkamah juga sudah menetapkan tarikh yang sama untuk mendengar saman pemula mereka.

Peguam Kanan Persekutuan, Natrah Idris hadir bagi pihak kerajaan manakala peguam Adnan Seman bertindak bagi pihak Presiden Pribumi Perkara Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang menjadi pencelah dalam kes itu.

Sementara itu, Ibrahim Ali berkata, pihak kerajaan sewajarnya melakukan tindakan memfailkan batal permohonan saman Hindraf terhadap Dr Zakir Naik dibuat lebih awal lagi.

"Sepatutnya, sebaik sahaja Hindraf mengambil tindakan mahkamah terhadap Dr Zakir dalam tempoh 48 jam kerajaan sudah mengemukakan permohonan untuk batalkan saman itu.

"Kalau perkara itu sudah dilakukan kerajaan lebih awal, sudah pasti Perkasa tidak akan masuk campur serta tidak membuat permohonan untuk menjadi pencelah dalam kes ini," katanya ketika ditemui di Mahkamah berkenaan.

Menurutnya, pihaknya memohon untuk mencelah bagi kes berkenaan kerana tiada pihak yang tampil untuk mempertahankan Dr Zakir yang merupakan tokoh yang dihormati serta menerima anugerah perhargaan dari Kerajaan Malaysia.

"Isu yang berbangkit adalah di negara Dr Zakir iaitu India. Tapi pada saya, kita tidak sepatutnya campur pentadbiran dan urusan undang-undang negara India.

"Jika kita lihat laporan sepanjang ceramah yang dibuat oleh Dr Zakir langsung tidak menampakkan unsur-unsur beliau menjadi peransang ke arah kegiatan terorisme atau ekstremis.

"Jadi kami ingin tegaskan apa yang dilakukan oleh Dr Zakir Naik tidak menyalahi undang-undang sebaliknya membawa Islam ke arah keamanan dan perpaduan di negara ini," katanya.

Pada 14 Mac lalu, Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden Perkasa memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman pemula pengerusi pertubuhan Hindraf, P Waythamoorthy bersama 18 individu lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, 1 Mac lalu, 19 individu itu memfailkan saman menuntut perisytiharan bahawa Dr Zakir sebagai ancaman kepada keselamatan negara dan dilarang daripada memasuki Malaysia.

Mereka menamakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 1:59 PM