Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkemungkinan mengambil tindakan sivil atau jenayah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya gagal membuat permohonan maaf.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan maaf daripada Lim Guan Eng dan tempoh itu masih berjalan.

Terdahulu, SPRM memberi tempoh 48 jam kepada beliau untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat berikutan kenyataan fitnah mengaitkan penahanan EXCO kerajaan negeri Phee Boon Poh oleh SPRM sebagai 'haram'.

Dzulkifli berkata, pihaknya meminta Guan Eng menarik balik kenyataan yang berunsur fitnah terbabit dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku di Pulau Pinang, tetapi setakat ini SPRM dimaklumkan belum terima apa-apa (permohonan maaf).

"Kita tunggu, jika tiada kita akan lihat apa tindakan yang boleh diambil, sama ada bersifat sivil atau jenayah," katanya pada sidang media di Program Ziarah Kasih SPRM Siri 3 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teriang Hilir, Simpang Durian, Jelebu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli mengesahkan menerima laporan dibuat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohd Fakhzan Md Noor mengenai dakwaan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) beroperasi lebih awal dari tarikh ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya perlu menyiasat sama ada ia maklumat baru atau sebaliknya.

"Saya perlu lihat balik sama ada isu baru atau seperti kertas siasatan sebelum ini. Kalau ada asas, kita akan ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Berita berkaitan

'SPRM beri tempoh 48 jam kepada Lim'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 5:24 PM