Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@hmetro.com.my


LAPAN kakitangan Jabatan Oftalmologi Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu esok, atas pertuduhan membuat tuntutan palsu elaun lebih masa berjumlah RM126,757.

Mereka yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan HQE 1 ditahan antara 10.19 hingga 10.35 pagi, hari ini.

Sumber berkata, tangkapan membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita berkaitan kesalahan mengemukakan dokumen tuntutan palsu.

"Ia membabitkan penyata elaun lebih masa antara Januari 2016 hingga Mei 2016 berjumlah RM126,757.

"Kelapan-lapan suspek berusia 26 hingga 38 dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu esok atas 38 pertuduhan bagi kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya.

Menurutnya, dua daripada lapan suspek juga berdepan 20 pertuduhan lain mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi mengesahkan penahanan semua suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 8:19 PM