Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Perbadanan Perumahan (HDC) Sarawak di Miri, hari ini bagi membantu siasatan berhubung tender mengecat dan membaik pulih yang tidak dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik.

Sumber berkata, dalam operasi dari 12 hingga 1.20 tengahari, SPRM turut menahan pengurus yang dilantik untuk melaksanakan projek tender yang dibuka pada April 2015 itu.

Katanya, dua suspek yang ditahan lebih awal adalah seorang jurutera dan juruteknik kanan yang masing-masing berusia 39 dan 59 tahun manakala pengurus itu berusia 49 tahun.

Katanya, tender itu sudah dibuka oleh HDC Sarawak pada 2015 bagi kerja-kerja mengecat dan membaik pulih 12 unit flat dua tingkat di Miri yang terbakar dan sebanyak 10 permohonan diterima dengan sebuah syarikat kemudiannya dilantik melalui nilai tawaran harga melebihi RM2 juta.

"Bagaimanapun syarikat itu melantik sebuah lagi syarikat sub kontraktor milik individu lain bagi melaksanakan kerja-kerja mengecat dan membaiki kerosakan 47 blok bangunan, " katanya.

Difahamkan, maklumat berhubung kes tersebut diperolehi oleh SPRM menerusi laporan audit negara 2016.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, semua suspek akan direman esok bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2017 @ 6:02 PM