PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed
Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


SEKURANG-kurangnya 418 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dibangunkan di Machang, Kelantan, dengan kos keseluruhan RM75 juta.

Projek itu dibina di atas tanah berkeluasan 6.4 hektar (16 ekar) di Batu 25, Machang yang dijangka siap pada 2019.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pembinaan PPR itu bukti Kerajaan Pusat mengambil berat dan prihatin terhadap rakyat.

"Ini satu lagi bukti bahawa kerajaan sedia ada melakukan projek yang menyentuh hati dan perasaan rakyat, malah saya yakin serta percaya projek ini akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Di Kelantan, keseluruhannya lapan projek PPR sedang dan akan dibangunkan termasuklah 1,000 unit di Kota Bharu," katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar, Machang.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya, harga seunit rumah PPR ditetapkan RM35,000 dan kerajaan memberi subsidi antara RM80,000 ke RM120,000 bergantung kos tanah dan pembinaan.

Dalam ucapannya, beliau turut meluluskan peruntukan lebih RM8 juta untuk projek jalan perhubungan desa, program ameniti sosial, perumahan rakyat termiskin dan projek khas membina musollah serta baiki masjid di Parlimen Machang.

"Saya luluskan semua permintaan Abang Lan (Ahmad Jazlan) untuk rakyat Machang tadi. Untuk tambahan rumah PPR pula, bagi (Barisan Nasional) menang dulu (pilihan raya umum (PRU)," katanya.

Najib juga mengulas tiga prinsip yang perlu didokong semua ahli dalam memenangkan parti ketika PRU nanti iaitu roh perjuangan yang bukan berlandaskan dendam kesumat mahupun kerjar pangkat; mempunyai kepimpinan sah yang padu dan sifat wala' (kesetiaan).

"Prinsip ini jika dipegang dan benar-benar diamalkan, InsyaAllah kita boleh menang dalam PRU nanti dan Kelantan juga saya yakin ada perubahan.

"Di sini (Kelantan) kita bersaing dengan PAS tapi mereka juga juga jadi pembangkang yang konstruktif yang boleh bekerjasama dalam hal tertentu.

"Apabila berbeza pendapat pun, PAS tidak serang semberono sebaliknya, siasat dulu. Ini yang kita nama politik matang dan penting diamalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 5:32 PM