GAMBAR mendiang adalah ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


REMAJA maut dipercayai terjatuh ketika di balkoni tingkat 5 hotel di Kampar, pada 12.15 tengah malam tadi.

Mangsa, Hon Seong Yan, 17, adalah penuntut kolej swasta di Petaling Jaya, Selangor, yang menyertai pensyarah dan 41 penutut kolej sama menghadiri seminar keagamaan di hotel itu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, remaja berasal dari Taman Bukit Desa, Kuala Lumpur.

Katanya, kejadian bermula apabila mangsa bersama pensyarah masuk ke bilik hotel di tingkat 5 sebelum mendiang mengatakan ingin menghisap rokok.

"Menurut pensyarah terbabit, remaja itu kemudian pergi ke balkoni kerana larangan merokok dalam bilik.

"Pensyarah itu kemudian terus keluar daripada bilik untuk berjumpa dengan kawan lain.

“Selepas kira-kira 20 minit, pensyarah itu masuk semula ke bilik namun mendapati remaja terbabit tiada dalam bilik dan keluar semula," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kong Soon berkata, selepas itu rakan mangsa pula mencari mendiang namun dikatakan masih tiada di bilik itu.

Katanya, rakan mendiang kemudian mencari di balkoni sebelum melihat mangsa terbaring di atas lantai depan lobi hotel dalam keadaan berlumuran darah.

"Pihak hospital dihubungi dan pegawai perubatan yang memeriksa mangsa mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar dan bedah siasat dilakukan,” katanya.

Sehingga ini, katanya, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut dan tiada unsur unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian.

Selain itu, katanya, pemeriksaan mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika berada di balkoni yang agak sempit.

Katanya, mayat mangsa sudah dituntut bapanya, Hon Fun Ping, 45, untuk urusan pengebumian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2017 @ 4:47 PM