PENDUDUK Palestin yang enggan memasuki Masjid Al-Aqsa kerana membantah pemasangan pengesan logam dan kamera menunaikan solat di pekarangan masjid berkenaan semalam. FOTO AFP
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hemetro.com.my

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Komiti Kempen Selamatkan Al Aqsa menyeru semua khatib membaca Khutbah Khas Isu Masjid Al Aqsa diserang, minggu ini.

Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, menerusi khutbah Jumaat minggu ini, pihaknya menyarankan lebih 6,400 masjid yang ada di negara ini bangkit menyatakan sikap dan menyampaikan mesej tegas kepada dunia bahawa tidak ada kompromi dalam isu Masjid Al Aqsa.

Katanya, selain itu MAPIM menyeru perhimpunan aman di seluruh masjid pada Jumaat (21 Julai 2017) dan memainkan peranan sebagai pusat pengemblengan umat untuk membela Masjid Al Aqsa.

"Kami berpendapat seluruh masjid di seluruh negara mesti bangkit mengutuk keganasan Israel ke atas Masjid Al Aqsa.

"MAPIM menggesa agar Jumaat minggu ini dijadikan Al Jum'ah Ghadob (Jumaat Kemarahan) untuk umat Islam menyatakan bantahan terhadap kebiadapan Israel," katanya di dalam satu kenyataan.

Pekarangan masjid berkenaan sebelum ini ditutup oleh polis Israel selepas tiga penduduk Palestin menembak mati dua askar Israel di Kota Lama Baitulmaqdis.

Solat Jumaat di masjid berkenaan juga dibatalkan.

Ketiga-tiga penduduk Palestin itu kemudian terbunuh selepas ditembak polis Israel di perkarangan masjid itu.

Israel semalam membuka semula kawasan Al-Haram Al-Sharif, kawasan suci bersensitif tinggi selepas menutupnya berikutan serangan yang membunuh dua anggota polis rejim itu Jumaat lalu.

Bagaimanapun, masyarakat Islam enggan memasukinya kerana langkah keselamatan baru dipasang di situ, termasuk pengesan logam dan kamera.

Sekumpulan Muslim berkumpul di luar kawasan berkenaan sambil melaungkan takbir dan kemudian menunaikan solat Zuhur di situ.

Kawasan Al-Haram Al-Sharif termasuk Masjid Al-Aqsa dan Qubbat As-Sakhrah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 11:07 PM