Tetamu menikmati juadah yang disediakan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Angsana Mall Johor Bahru. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Norazimah Narudin
am@hmetro.com.my


PEMBANGUNAN Angsana Johor Bahru Mall 2 dalam tempoh lima tahun akan datang mampu merancakkan aktiviti perniagaan menerusi penawaran pelbagai pilihan produk dan keselesaan kepada pengunjung termasuk pelancong asing.

Pengarah Urusan Kumpulan Uda Holdings Berhad Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, pada masa ini pembinaan pusat beli-belah bernilai RM1.5 bilion itu masih dalam peringkat kelulusan reka bentuk.

“Pembangunan komersial Angsana Johor Bahru Mall 2 bakal menawarkan kepelbagaian jenis perniagaan yang menjanjikan kemeriahan dunia beli-belah.

“Ia akan dibina berhampiran pusat beli-belah sedia ada iaitu di atas tanah berkeluasan 4.4 hektar yang dijangka lebih besar berbanding Angsana, dan sebuah jambatan akan dibina untuk menghubungkan kedua-dua pusat beli-belah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri Uda Angsana Sdn Bhd dan Uda Land South di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pengurusan Aset Uda Holdings dan Pengurus Kanan Kumpulan Uda Datuk Ahmad Tajuddin Mohamed.

Pada majlis itu, Uda Land South turut meraikan 40 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Kampung Ungku Mohsin.

Ahmad berkata, pengunjung boleh mendapatkan pelbagai barangan berjenama antarabangsa yang tidak terdapat di kompleks beli-belah sedia ada kerana kebanyakannya menjual barangan jenama tempatan.

“Kali ini kami memberi peluang kepada jenama antarabangsa untuk merancakkan perniagaan bersama peniaga tempatan, sekali gus melengkapkan barangan di kedua-dua pusat beli-belah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 10:48 PM