Salleh meninggal dunia, 6.41 petang hari ini. FOTO ihsan Pejabat Penyelaras DUN Langkap
Helmy Abd Rahman dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Salleh Mamat, 81, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, akibat sakit tua, 6.41 petang hari ini.

Allahyarham Salleh atau lebih mesra dipanggil Pok Su Leh menjadi ADUN Barisan Nasional (BN) di kawasan Langkap selama tiga penggal selepas berjaya menewaskan calon pada pada Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1974, 1978 dan 1982.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut melahirkan kesedihan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi laman Facebook beliau malam ini.

"Saya dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Salleh, mantan ADUN Langkap yang kembali ke Rahmatullah petang tadi di Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman. Al-Fatihah," katanya.

Difahamkan Allahyarham dimasukkan ke HSNZ Sabtu lalu selepas demam selain sakit tua.

Sementara itu, ADUN Langkap, Datuk Sabri Mohd Nor berkata, Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tong, Setiu pagi esok, namun masanya belum dipastikan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 10:37 PM