Wan Junaidi (kiri) melihat tapak bangunan Kualiti Alam. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


SILIBUS subjek alam sekitar yang dicadangkan sebagai sukatan pelajaran di sekolah dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet pada awal tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jawatankuasa teknikal membabitkan pegawai di kementeriannya dan Kementerian Pendidikan sudah mengadakan beberapa kali perbincangan dan draf itu akan siap sepenuhnya hujung tahun ini.

"Apabila siap kelak, kami akan bawa perkara ini kepada Kabinet untuk diputuskan. Peringkat kementerian saya dan Kementerian Pendidikan bersetuju kerana memahami kepentingan silibus itu untuk mendidik golongan muda mengenai alam sekitar.

"Bagaimanapun, kita belum memutuskan silibus itu akan menjadi subjek berasingan atau diselitkan dalam subjek lain, sama ada sains dan sosial," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pusat Pemeliharaan Alam Sekitar dan Inovasi (EPIC) di Kualiti Alam, Sendayan, hari ini.

Beliau berharap cadangan terbabit dipersetujui dan dapat direalisasikan di peringkat sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Pada Februari lalu, Wan Junaidi mengumumkan cadangan memperkenalkan subjek alam sekitar dalam sukatan pelajaran di sekolah, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 3:50 PM