Pengarang Bisnes/IT Harian Metro, Nasharuddin Muhammad (Berdiri empat dari kanan) yang akan menyediakan laporan musim haji kali ini bersama petugas media lain. FOTO Ihsan Tabung Haji
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


SERAMAI 22 petugas media antara 143 petugas haji bagi musim haji 2017 Masihi/1438 Hijrah iaitu kumpulan kedua petugas haji yang akan berlepas ke Jeddah, Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, hari ini.

Sebelum berlepas, semua petugas diberikan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman di Kompleks Haji Kelana Jaya di Petaling Jaya, pagi ini.

Antara wakil media yang turut serta termasuk Harian Metro, New Straits Times, Utusan Malaysia, Bernama, TV3, Astro Oasis, Radio IKIM serta TV Al-Hijrah.

Pada musim haji kali ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan berangkat ke Tanah Suci secara berperingkat bermula 24 Julai ini.

Pada musim haji kali ini juga, Hari Wukuf di Arafah sudah ditetapkan pada 31 Ogos ini, serentak dengan Hari Kemerdekaan negara.

Syed Saleh berkata, semua petugas haji dinasihatkan supaya membetulkan niat masing-masing kerana Allah selain menjaga adab dan batasan ketika bertugas serta tidak terbabit dengan aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik diri sendiri, keluarga dan negara.

Menurutnya, ketika ini keadaan politik di Asia Barat dalam keadaan tidak menentu dan semua petugas dinasihatkan supaya tidak terbabit atau mencampuri urusan politik di negara-negara berkenaan.

Beliau berkata, semua petugas juga dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan semangat kerja berpasukan serta tidak cuba mahu menonjolkan diri.

"Kelancaran dan kejayaan musim haji kali ini nanti adalah kejayaan berpasukan dan bukannya kejayaan individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 1:09 PM