MRT fasa dua laluan Semantan-Kajang. FOTO Khairull Azry Bidin
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


DISKAUN tambang 50 peratus akan diberikan kepada semua penumpang Mass Rapid Transit (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Bus Rapid Transit (BRT) bermula esok hingga 31 Ogos ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, diskaun itu diberikan sempena kejayaan pelancaran MRT yang siap dibina dua minggu lebih awal.

"Projek MRT yang pada awalnya dijangka menggunakan dana berjumlah RM23 billion berjaya dikurangkan kepada RM21 billion.

"Projek ini yang fasa pertama dilancarkan pada 16 Disember tahun lalu ternyata berjaya membawa perubahan ketara kepada rakyat apabila 160,000 kereta berjaya dikurangkan di jalan raya setakat ini," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) Fasa Kedua di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), hari ini.

"Selain itu, 130,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan pada fasa pertama termasuk 70,000 secara langsung.

"Pada peringkat awal, kita juga menyediakan 41 ruang perniagaan dan akan ditambah lagi dalam masa akan datang," katanya.

Fasa kedua MRT iaitu dari Stesen Semantan ke Kajang dibuka kepada orang awam bermula 4 petang ini sebelum bersambung dengan Fasa Pertama, iaitu dari Sungai Buloh ke Semantan bermula 6 pagi esok.

"Setiap stesen mempunyai ciri berlainan seperti di Stesen Merdeka yang mempunyai elemen kenegaraan di dindingnya.

"Stesen yang kita ada adalah antara terbaik di dunia dan kita boleh berbangga dengan pencapaian ini," katanya.

Keseluruhan Projek MRT yang bermula pada 2010 mempunyai 31 stesen dengan laluan sejauh 51 kilometer (km) termasuk tujuh stesen bawah tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 12:09 PM