MOHD Ali Hassan. FOTO Zain Ahmad
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


BEKAS Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Mohd Ali Hassan meninggal dunia akibat masalah jantung di Hospital KPJ Johor, Johor Bahru, hari ini.

Menantu Allahyarham, Kamarul Shahriman Kamaruddin, 41, berkata Mohd Ali disahkan meninggal dunia pada 2.30 pagi oleh doktor.

"Kira-kira 1 pagi tadi, saya menerima panggilan daripada ibu mertua mengatakan Allahyarham semput dan mengalami kesukaran bernafas.

"Berikutan itu, saya dan isteri, Zarina, (anak sulung Allahyarham) bergegas dari rumah di Kempas ke kediaman keluarga mertua," katanya ditemui di kediaman Allahyarham bapa mertuanya di Taman Nong Chik, di Johor Bahru, hari ini.

Kamarul Shahriman berkata, Allahyarham dibawa ke Hospital KPJ Johor pada 1.30 pagi dan dimasukkan ke Unit Kecemasan hospital berkenaan bagi rawatan lanjut.

"Keadaan Allahyarham didapati semakin lemah dan disahkan meninggal dunia pada 2.30 pagi," katanya.


MOHAMED Khaled ketika menziarahi jenazah Mohd Ali di kediamannya. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar Johor

Mohd Ali, 79, meninggalkan seorang isteri Misbah Sakat, 67, dua anak lelaki dan dua anak perempuan serta 11 cucu.

Allahyarham pernah memegang jawatan Pengerusi Majlis Agama Islam Johor dari 1989 hingga 1990 selain menjadi Speaker DUN Johor dari 2004 hingga 2013.

Hadir menziarahi jenazah Allahyarham pagi ini, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut dan Speaker DUN Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Kebun Teh, Johor Bahru, pagi ni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 10:14 AM