Khairy Jamaluddin (tengah) bersama Zolkples (kanan) dan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo bersama replika tiket Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. FOTO HM/NURUL SHAFINA JEMENON
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@metro.com.my


HANYA beberapa jam selepas dilancarkan, tiket untuk pertandingan bola jaring Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Stadium Juara, Bukit Kiara, habis dijual.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi akaun Twitter miliknya, mengumumkan perkara berkenaan selepas melancarkan penjualan tiket dalam talian, hari ini.

Ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) Datuk Seri Zolkples Embong yang menjelaskan 413 tiket yang diperuntukkan kepada orang awam sudah habis dijual.

"Stadium Juara di Bukit Kiara mempunyai kapasiti yang terhad iaitu hanya 1,000 kapasiti namun ada antaranya perlu diperuntukkan kepada penaja dan sebagainya.

"Jadi berdasarkan perkembangan ini, saya jangkakan jualan venue lain akan turut rancak dalam tempoh terdekat ini. Secara tidak langsung Sukan SEA kali ini menandakan sambutan hangat," jelasnya.

Khairy hari ini mengumumkan 19 acara Sukan SEA akan dikenakan bayaran tiket seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, terjun dan berbasikal trek dengan maksimum harga adalah RM20.

Manakala 32 acara seperti tinju, menembak, bola tampar dan hoki adalah percuma pada temasya Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 6:58 PM