Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my

DATUK Aliff Syukri sanggup beri ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya tiga lagi pembantu rumahnya yang disyaki mencuri barang kemas dan wang di rumahnya.

Pengarah Urusan D'Herbs Holding (M) Sdn Bhd itu ketika dihubungi berkata, dia sangat kecewa dengan perbuatan dilakukan pembantu rumahnya itu menyebabkan wang tunai, barang kemas dan jam ‘lesap' dalam kejadian di rumahnya Kampung Damai Kuang.

“Saya terpaksa bermalam di hotel kerana serik dengan kejadian ini. Telefon saya juga turut dicuri.

"Tidak sangka pembantu rumah warga Indonesia itu sanggup mencuri pelbagai barang walaupun saya dan isteri layan mereka dengan baik," katanya yang sudah membuat laporan polis semalam.

Menurutnya, polis sudah menahan seorang pembantu rumahnya dan berharap tiga lagi dapat dikesan dengan segera.

"Saya sanggup beri ganjaran kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tiga pembantu rumah itu.

"Tindakan ini saya lakukan kerana tidak mahu orang lain ditipu dan dianiaya seperti saya," katanya yang mengakui tertekan dan enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, polis menahan tiga individu termasuk bekas pekerja dan pembantu rumah Aliff selepas dipercayai mencuri wang tunai dan barang kemas bernilai RM100,000.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superitendan Somu Subramaniam berkata, tiga suspek masih diburu manakala tiga lagi yang sudah ditahan direman sehingga 22 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:51 PM
Datuk Aliff Syukri menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap pembantu rumahnya yang disyaki mencuri. - Foto Ihsan Aliff Syukri