Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

JABATAN Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini, menemui mayat lelaki hanyut ketika banjir melanda Hulu Langat, Sabtu lalu, yang rakaman video kejadian itu tular di media sosial.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, mayat Taufik Alias, 24, ditemui di Tanjung Niah, pada 2.54 petang, hari ini.

“Mayat mangsa ditemui satu kilometer dari lokasi kejadian dia dihanyutkan iaitu Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua.

"Mayat diserahkan pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi bedah siasat.

"Pihak keluarga turut dimaklumkan mengenai penemuan mangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang, kelmarin, Taufik hanyut ketika kejadian banjir berlaku di IKBN Dusun Tua.

Kejadian turut menjadi tular apabila video memaparkan detik mangsa dihanyutkan tersebar di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 5:50 PM