Keadaan reban yang terbakar mengakibatkan kerugian RM1 juta. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily@hmetro.com.my


SEBANYAK 73,000 ekor anak ayam daging rentung dalam kebakaran sebuah reban di Mukim Tanjung Sembrong, Jalan Ayer Hitam dekat Yong Peng, Johor, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Mohd Asroy Mohd Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.40 pagi sebelum sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian berserta lima anggota dari BBP Ayer Hitam untuk bantuan.

Beliau berkata, reban dua tingkat itu musnah terbakar keseluruhannya, namun terdapat seunit lagi reban di lokasi sempat diselamatkan.

"Api sudah berjaya dipadamkan, namun operasi masih belum ditamatkan bagi memantau lokasi kebakaran," katanya.

Menurut beliau, kos kerugian ayam dan reban itu dianggarkan mencecah RM1 juta lebih, namun kos sebenar dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 5:05 PM