Mohd Razi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM35,000 antara Ogos 2013 hingga April 2014. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


PENOLONG pegawai veterinar di Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, terhadap empat pertuduhan menerima RM35,000 daripada seorang kontraktor, antara 1 Ogos 2013 hingga 10 April 2014.

Tertuduh, Mohd Razi Basar, 40, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Razi yang juga Ketua Unit Ruminan didakwa menerima dua keping cek RM20,000 atas nama isterinya, tanpa sebarang balasan daripada seorang kontraktor.

Tertuduh didakwa tahu perbuatannya itu ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai pegawai yang bertanggungjawab memperakukan penerimaan barang bagi kerja membekal dan menghantar lima tangki air plastik bergerak dan menghantar 340 beg makanan ternakan kambing serta membekal 10 unit pagar cyclone kepada JPV negeri selain membekal bahan binaan untuk baik pulih kandang lembu di Batu Pahat.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima RM15,000 daripada kontraktor sama bagi membantu mendapatkan kerja membekal dan menghantar 10 pejantan dan 50 betina kerbau baka sawah kepada JPV negeri yang mana tertuduh tahu ia ada kaitan dengan kaitan dengan tugasnya sebagai Pegawai Projek Pembekalan di jabatan itu.

Semua perbuatan didakwa dilakukan di Kampung Belahan Tampok, Rengit dekat Batu Pahat. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khazrin Haffiz Khalil menawarkan jaminan RM40,000 sebelum dibantah peguam M Manian yang mewakili tertuduh.

Manian memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja dan tiga anak berusia antara dua hingga tujuh tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di SPRM Batu Pahat setiap minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 3:23 PM