TAPAK pelupusan sampah Majlis Bandaraya Alor Setar di Jabi. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

JUMLAH janaan sampah akan meningkat antara 20 hingga 25 peratus lebih tinggi menjelang musim perayaan berbanding hari biasa di Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutif Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman), Ir Mohamad Shaiful Anuar Zainal berkata, jumlah sampah yang dikeluarkan pada musim perayaan untuk sehari adalah 1,485 tan berbanding 1,216 tan pada hari biasa.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mempertingkat operasi pembersihan menjelang musim perayaan kerana jumlah sampah selalunya bertambah sepanjang Ramadan dan ketika sambutan Aidilfitri.

"Jadual kutipan sampah tetap dijalankan seperti biasa malah dilanjutkan hingga tengah malam bagi memastikan tahap kebersihan pada waktu perayaan berada dalam keadaan terbaik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Shaiful berkata, 69,980.9 tan barangan kitar semula dapat dikumpulkan hasil daripada pelaksanaan pengasingan sisa pepejal sepanjang Januari hingga Mei lepas bagi seluruh negeri ini.

"Ini menunjukkan masyarakat mula sedar tentang kepentingan pengasingan sisa dan manfaat yang diperolehi dengan melaksanakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 5:39 PM