Suspek dibawa untuk mohon perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya. FOTO Abdul Rahim Rahmat
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


PENOLONG pengurus jabatan pengarang sebuah akhbar bahasa Inggeris direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan berjumlah RM70,000.

Perintah reman terhadap suspek berusia 54 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman sehingga 5 Jun.

Terdahulu, suspek terbabit dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 9.15 pagi di Mahkamah Majistret Putrajaya dan dilihat memakai baju lokap warna jingga dengan tangan bergari.

Difahamkan, suspek meminta wang suapan daripada seorang kenamaan yang sedang disiasat oleh SPRM untuk  menutup fail kes membabitkannya. 

Berdasarkan laporan hari ini, sumber dipetik berkata, suspek ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama wang tunai kira-kira RM20,000 jam 9.30 malam tadi.

Suspek yang bekerja di sebuah agensi media akan memberitahu pengadu, dia mempunyai kenalan di SPRM dan mampu menyelesaikan kes membabitkannya yang disiasat oleh suruhanjaya itu.

Suspek disiasat mengikut seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 12:43 PM