Md Raus (tiga, kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Mohamed Mustafa (dua, kiri) dengan Latifah. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


BADAN Kehakiman Negara berjaya menyelesaikan 95 peratus kes tertunggak membabitkan kes sivil dan kriminal dalam tempoh ditetapkan di semua mahkamah di seluruh negara.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif berkata, semasa mengambil alih Presiden Mahkamah Rayuan dulu, terdapat lebih 10,700 kes tertunggak namun ketika meninggalkan Mahkamah Rayuan dua bulan lalu ia berjaya dikurangkan kepada 3,000 kes.

"Jadi dari segi mengurangkan kes tertunggak itu, saya kira kita sudah berjaya menyelesaikannya namun masalahnya sekarang ingin menyelesaikan baki lima peratus yang melebihi jangka masa ditetapkan namun dalam hal ini kita sedang berusaha untuk menyelesaikan kes ini.

"Bagaimanapun saya sudah arahkan ia mesti tidak melebihi setahun atau 15 bulan bagi menyelesaikan kes-kes lama itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), di Sintok, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Sementara itu mengulas mengenai MoU itu, Mohamad berkata, MoU ini dimeterai bertujuan supaya PKPMP dan UUM dapat menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan yang membabitkan perkhidmatan kehakiman dan perundangan.

Menurutnya, selain itu, ia juga membolehkan latihan berterusan dan pembelajaran dalam meningkatkan profesionalisme serta kolaborasi dalam penyelidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 4:34 PM