BAKRI Hafiz berama kereta Volkswagen Beetle yang dimenanginya.
Nor 'Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Kreativiti seorang juruvideo menghasilkan video pendek keselamatan jalan raya dalam pertandingan PLUS Mufors Road Reels membawa tuah apabila dia memenangi hadiah utama kereta Volkswagen Beetle bernilai lebih RM130,000, semalam.

Bakri Hafiz Hashim, 29, menghasilkan video berdurasi 2 minit 45 saat berjudul Empat, dalam tempoh satu setengah hari.

Menurutnya, video berkenaan membawa mesej kepada pemandu supaya memberi fokus kepada pemanduan dan jangan bermain telefon bimbit.

“Idea itu datang secara spontan dan saya tidak menyangka percubaan kali pertama menyertai pertandingan seperti ini memberi rezeki yang tidak dijangka.

“Kereta ini bakal saya gunakan dan tidak akan menjualnya kerana ia memberi makna besar dalam hidup saya,” katanya.

Tempat kedua dimenangi Chua Xian Jun yang menerima hadiah wang tunai RM10,000 manakala tempat ketiga milik Chen Wei Choon yang meraih RM8,000.

Hadiah disampaikan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad Datuk Azman Ismail di Menara Korporat Persada PLUS, di sini.

Sementara itu, Azman berkata, pertandingan video pendek diadakan pada Oktober 2016 hingga Januari lalu dan disertai 300 peserta dari seluruh negara.

“Pemilihan pemenang sukar kerana semua peserta menampilkan video yang menarik dan kreatif.

“Pertandingan video pendek ini satu daripada strategi PLUS mendidik orang ramai mengenai keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu dapat menarik minat orang ramai untuk bersama-sama PLUS memperjuangkan dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya kepada masyarakat.

Katanya, video yang bersesuaian dalam pertandingan berkenaan akan dikongsikan menerusi laman sosial untuk mendidik orang ramai dan memberi kesedaran mengenai kepentingan mengamalkan cara pemanduan berhemah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 1:04 AM