Ridhatul Rizki
ridhatulrizki@hmetro.com.my


“LAGU itu memang biasa dinyanyikan oleh murid sekolah ini dan mereka sudah hafal lirik lagu itu. Jadi apabila lagu itu digunakan sempena Sambutan Hari Guru, mereka menyanyikannya bersama,” kata Guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Impian, Kajang, Juliana Ahmad Zukhi, mengenai lagu Terima Kasih Cikgu nyanyian asal Upin & Ipin yang dinyanyikan murid bagi meraikan guru sekolah itu, hari ini.

Menurut Juliana, lagu itu sering digunakan sebagai selingan ketika sesi pembelajaran agar murid-murid tidak bosan dan mudah menumpukan perhatian.

“Untuk menenangkan dan mendisiplinkan murid, kebiasaannya guru menggunakan lagu itu agar murid tidak bosan ketika sesi pembelajaran.

“Lagipun lagu itu amat membantu dalam subjek Bahasa Malaysia kerana salah satu tajuk dalam subjek itu adalah Hormati Guru,” katanya sambil menambah siri animasi Upin & Ipin sangat dekat dengan jiwa kanak-kanak.

“Siri animasi itu yang mereka tonton setiap petang sampai mereka dah hafal lagu dan wataknya. Malah, dalam buku latihan pun ada dicetak watak Upin & Ipin bagi menarik perhatian murid-murid,” katanya.

Menurutnya, pada sambutan Hari Guru sekolah itu hari ini, guru memberi sepenuh kepercayaan kepada murid untuk mengadakan persembahan.

“Ada murid yang menyanyi, menari dan berlakon. Mereka sendiri yang merancang persembahan apa yang mereka ingin lakukan. Guru hanya memberi nasihat dan membantu sedikit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 7:40 PM
Antara persembahan murid sempena sambutan Hari Guru SK Saujana Impian, Kajang, hari ini.