DAVID Teo sebelum berlaku kekecohan di Dialog TN50di Putrajaya, Selasa lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


KEKECOHAN membabitkan penerbit filem, David Teo dan pelawak Sulaiman Yassin atau Mat Over di Dialog Transformasi Nasional (TN50) di Putrajaya, Rabu lalu tidak memberi sebarang kesan kepada David dan filem terbitan syarikatnya.

David berkata, dia lega kerana kebanyakan pengguna laman sosial memberikan maklum balas positif kepada dirinya.

"Berdasarkan komen di laman sosial semuanya positif untuk saya, malah tak nampak apa pun yang negatif pada saya.

"Mungkin ada yang kata insiden itu membuatkan penonton memboikot filem saya, tetapi tidak. Apa yang terjadi sedikit pun tidak memberikan kesan kepada saya dan filem saya.

"Lagipun dari dulu lagi memang ada yang suka dan tak suka dengan filem saya. Jadi, tak ada yang perlu dibimbangkan," katanya.

Kejadian Rabu lalu bermula apabila David menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap perantara Datuk Rosyam Noor yang disifatkan tidak adil kerana tidak memberi laluan kepada dirinya dan tetamu yang berada di barisan belakang.

Tanpa diduga, Mat Over meluru ke depan pentas dan menampar muka David. Kejadian itu mengejutkan lebih 300 tetamu terdiri daripada orang kenamaan, penggiat seni dan wakil media hingga menjadi tular di media sosial.

Bagaimanapun, sebelum majlis berakhir David, Mat Over dan Rosyam tampil semula di pentas untuk bersalam di hadapan Najib tanda mereka berdamai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 5:33 PM