Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


MEKANIK naik hantu apabila bertindak membelasah adik perempuannya sehingga menyebabkan mangsa cedera di muka, kepala, kaki dan badan dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Bukit Mok Mek Jalan Kubur, Besut, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku 9 malam ketika mangsa berusia 26 tahun pulang ke rumah ibunya sebelum suspek berusia 30 tahun tiba-tiba mengamuk.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek bertindak memukul badan mangsa menggunakan sebatang penyapu sebelum membaling pasu bunga ke arah adiknya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu turut menumbuk muka adiknya menyebabkan mata kiri mangsa lebam.

"Akibat kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut.

"Susulan laporan dibuat, suspek yang positif dadah ditahan dan direman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 4:42 PM